“ Sebaik-baik di kalangan kamu orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya” (Riwayat al-Bukhari)

Khamis, 3 November 2011

Pengenalan Kaedah al-Baghdadiah



Pengasas kaedah al-Baghdadiah ialah Abu Mansor Hafzul Fikri Al-Baghdadi pada tahun 376 Hijrah. Kaedah ini  memperkenalkan huruf secara analisa berperingkat-peringkat dengan cara latih tubi dan pengulangan. Kaedah ini telah tersebar dan berkembang ke seluruh ceruk rantau dunia hingga ke saat ini. Ia telah menjangkau 1049 tahun dan telah menyumbangkan jasa yang amat besar kepada seluruh umat Islam.  Kaedah al-Baghdadiah ini begitu popular di kalangan umat Islam seluruh dunia sejak zaman berzaman.  Hanya pada tahun 1990  an sahaja kaedah Iqra’, Qiraati dan lain-lain mula dikenali umat Islam.


Panduan Kaedah al-Baghdadiah
  1. Mengenalkan huruf-huruf Hijaiyah dari ا hingga ي secara latih tubi sehingga hafaz.
  2. Mengeja huruf tunggal berbaris di atas dan membunyikannya.
  3. Mengeja huruf tunggal yang bercampur baris iaitu baris satu di atas, di bawah dan di depan serta membunyikannya.
  4. Mengeja huruf bertasydid yang besambung dengan ا dan ي serta membunyikannya.
  5. Mengeja huruf ا ،  و dan ي bertanda mati dan bersambung dengan satu huruf serta membunyikannya.
  6. Mengeja kalimah-kalimah yang ada huruf ا ،  و dan ي bertanda mati dan bersambung dengan  كم serta membunyikannya.
  7. Mengeja kalimah-kalimah yang terdapat huruf nun bertasydid dan membunyikannya.
  8. Mengeja dan membunyikan kalimah-kalimah yang mempunyai baris dan tanda bacaan yang berlainan yang terdiri daripada dua suku kata, tiga suku kata atau empat suku kata atau lebih.  Ada bacaan panjang, ada bacaan pendek dan ada bacaan dengung dan tidak dengung.
  9. Membaca petikan ayat-ayat al-Quran tanpa mengeja lagi.
  10. Setelah pelajar menguasai bacaan petikan-petikan ayat, maka mereka bolehlah membaca ayat-ayat al-Quran yang lain dari surah al-Fatihah, an-Nas hingga an-Naba’ mengikut turutan dalam Muqaddam.
Kebanyakan guru-guru yang menggunakan kaedah ini biasanya hanya menyuruh pelajar membaca ayat-ayat al-Quran tanpa mengeja dari surah al-Fatihah sehingga surah ad-Dhuha sahaja. Apabila selesai membaca sehingga surah ad-Dhuha dengan lancar dan tiada kesalahan dilakukan, pelajar tersebut akan dinaiktarafkan (upgrade) dan diminta membaca dari awal surah al-Baqarah Juzu’ 1 atau istilah biasanya “Naik Quran” sehingga khatam al-Quran.
Seiring dengan peredaran zaman dan percambahan idea dan pemikiran manusia, kini muncul pelbagai kaedah sebagai penambahbaikan pada kaedah Muqaddam atau al-Baghdadiah ini. Tahukah anda terdapat beberapa lagi kaedah untuk mempelajari al-Quran pada masa kini? Berikut adalah sebahagian kaedah pengajaran dan pembelajaran al-Quran selain Muqaddam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan