“ Sebaik-baik di kalangan kamu orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya” (Riwayat al-Bukhari)

Khamis, 3 November 2011

Kaedah Iqra’


Kaedah Iqra’ atau cara cepat belajar al-Quran Rasm Uthmani juga adalah berasal dari Indonesia iaitu mula diperkenalkan pada tahun 1984 di sebuah Taman Kanak-Kanak Al-Quran di Kota Gedo, Jogjakarta. Pengasas kaedah ini ialah Haji As’ad Humam yang telah menyusun enam jilid buku Iqra’. Kaedah ini pada umumnya menggunakan kaedah lihat dan baca terus tanpa mengeja terlebih dahulu.

Di peringkat permulaan pelajar belajar membaca al-Quran, kaedah Iqra’ tidak mengenalkan huruf dan baris-baris bacaan seperti baris satu dan baris dua samada di atas, di bawah atau di depan. Begitu juga tidak dikenalkan tanda-tanda bacaan seperti tanda mati atau tasydid. Buku-buku Iqra’ sepertimana juga buku Qiraati disusun untuk memudahkan pengajaran dan pembelajaran al-Quran dari peringkat pengenalan huruf Hijaiyyah hinggalah menguasai tilawah al-Quran dengan baik dan mengikut hukum tajwid.

Kaedah ini mengutamakan bimbingan dan latih tubi. Oleh kerana itulah setiap orang guru hanya akan membimbing lima atau enam orang murid sahaja bagi satu sesi pengajaran. Kaedah Iqra’ telah diterima dan digunakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1994 bagi pengajaran dan pembelajaran al-Quran di sekolah.








Kaedah Qiraati


Kaedah Qiraati atau bacaanku disusun pada tahun 1963 oleh seorang guru al-Quran Hj. Dachlan Salaim Zarkasyi dari Semarang, Indonesia. Ia diterbitkan paa 1 Julai 1996. Kaedah ini mengandungi dua bahagian buku iaitu Qiraati untuk kanak-kanak dan Qiraati untuk dewasa. Qiraati untuk kanak-kanak mengandungi lima buah buku dan sebuah buku Gharib tentang kaedah Rasm Uthmani. Qiraati untuk dewasa mengandungi tiga buah buku.

Pada mulanya kaedah ini terdiri dari sepuluh jilid buku untuk kanak-kanak berusia enam tahun ke atas. Kemudian dikemaskinikan menjadi lapan jilid, enam jilid dan akhirnya lima jilid. Kaedah ini bermula dengan memperkenalkan huruf Hijaiyyah hinggalah ke buku jilid lima untuk pelajaran yang lebih susah seperti bacaan huruf Qalqalah dan sebagainya. Apabila selesai lima buah buku tersebut pelajar akan dilatih membaca Juzu’ Amma dan seterusnya al-Quran mushaf Rasm Uthmani.








Pengenalan Kaedah al-Baghdadiah



Pengasas kaedah al-Baghdadiah ialah Abu Mansor Hafzul Fikri Al-Baghdadi pada tahun 376 Hijrah. Kaedah ini  memperkenalkan huruf secara analisa berperingkat-peringkat dengan cara latih tubi dan pengulangan. Kaedah ini telah tersebar dan berkembang ke seluruh ceruk rantau dunia hingga ke saat ini. Ia telah menjangkau 1049 tahun dan telah menyumbangkan jasa yang amat besar kepada seluruh umat Islam.  Kaedah al-Baghdadiah ini begitu popular di kalangan umat Islam seluruh dunia sejak zaman berzaman.  Hanya pada tahun 1990  an sahaja kaedah Iqra’, Qiraati dan lain-lain mula dikenali umat Islam.


Kaedah Pengajaran Al-Quran


Tilawah al-Quran ialah sutu komponen dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. Dalam pelajaran ini dipecahkan kepada tiga, iaitu:

Tilawah
Kefahaman
Tahfiz.
Pengajaran Tilawah Al-Quran

Dalam Tilawah penekanan diberikan kepada bacaan Al-Quran secara bertajwid. Maksudnya memperbaiki bacaan Al-Quran pelajar. Dengan demikian, haruslah banyak membincangkan mengenai cara bacaan yang betul. Ini termasuklah sebutan makhraj huruf, sifat huruf, dengung, mad, dan sebagainya. Untuk ini guru mestilah membaca dahulu ayat-ayat yang hendak dipelajari dengan baik, betul, dan fasih. Kemudian diikuti dengan bacaan pelajar beramai-ramai, seterusnya bacaan pelajar secara kumpulan dan perseorangan.

Selepas itu baru bincangkan hukum bacaan. Guru keluarkan hukum-hukum tertentu, misalnya Nun Sakunah bertemu dengan Sin, Nun dan To, bagaimana cara membacanya. Jawapannya; dengung. Maka guru tunjukan bagaimana cara mendengungkan kalimah itu. Kemudian minta pelajar membacanya dan perhatikan dengungnya betul atau tidak, dan harakat dengung cukup atau tidak. Jika tak betul, guru tunjukkan cara yang betul. Begitulah seterusnaya dengan hukum-hukum lain.

Selepas itu bahagikan kelas kepada beberapa kumpulan kecil dan setiap kumpulan membaca ayat-ayat yang telah ditetapkan. Seorang Naqib dilantik untuk membimbing bacaan kawan-kawan. Guru beri tumpuan kepada kumpulan yang lemah, di samping itu guru mengawasi kumpulan-kumpulan lain. Lebih kurang 7 atau 10 minit guru panggil kelas dan beri maksud ayat yang baca dan buat kesimpulan pengajaran ayat.

Talaqqi dari segi bahasa bermaksud pertemuan secara berhadapan atau bersemuka. Manakala dari segi istilah ia bermaksud pertemuan antara guru dan pelajar secara bersemuka. Guru memberi contoh bacaan dan pelajar mengikut bacaan guru.

Musyafahah dari segi bahasa ialah sebutan dari mulut ke mulut yang diambil daripada pergerakkan dua bibir. Manakala dari segi istilah ia bermaksud pelajar menerima pengajaran secara sebutan guru dengan melihat pergerakkan bibir guru dan menyebutnya.